MELAKA 15 Jun - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun terpaksa melalui detik cemas apabila tangan kanannya tersepit pada eskalator di sebuah pasaraya di Ayer Keroh dalam kejadian jam 10 malam tadi.
Utusan Online melaporkan, kejadian berlaku ketika mangsa bersama keluarga datang ke pasaraya itu untuk membeli belah dan ketika melalui kawasan eskalator itu, tangan mangsa tiba-tiba tersepit di eskalator terbabit.
Pegawai Pengurusan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Timbalan Penguasa Bomba Kamarulzaman Mohd. Din berkata, mangsa, Iman Sumaiyah Masri, 3, mengalami luka iaitu melecet pada tangan kanannya berikutan kejadian itu.
"Pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada pukul 10.02 malam dan sepasukan 12 anggota bomba yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ashraf Abdullah bergegas ke tempat kejadian.
"Anggota bomba mengambil masa kira-kira 5 minit untuk mengeluarkan tangan mangsa dan kanak-kanak itu kemudian dihantar ke Hospital Pantai di Ayer Keroh untuk menerima rawatan atas permintaan keluarganya," katanya.
Menurut Kamarulzaman, mangsa dihantar ke hospital dengan jentera Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) dan pihaknya sedang menyiasat punca kejadian tersebut.
Beliau turut menasihatkan para ibu bapa supaya berhati-hati dan sentiasa mengawal anak mereka ketika menggunakan eskalator khususnya ketika membeli-belah menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Katanya lagi, pihaknya telah meminta pengurusan pasar raya itu supaya sentiasa membuat penyelenggaran dan memantau peralatan tersebut bagi mengelak kejadian itu daripada berulang.-
Adam and Hawa

No comments:
Post a Comment