KUCHING 22 Jun - Selang lebih lima jam selepas Setiausaha Cawangan PKR Miri, Bill Kayong, 43, mati ditembak, Sarawak dikejutkan dengan satu lagi kes seumpama itu apabila seorang lelaki maut terkena tembakan di kepala ketika sedang memandu lori bersama rakannya di Kampung Jugan, Bau dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kedua berlaku kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Chon Siew Kiong, 36, bersama rakannya berada di kampung tersebut untuk membeli lada hitam.
Dia dipercayai terkena peluru penabur daripada senapang patah di kepala. Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.30 petang ini selepas bertarung nyawa lebih 24 jam di Unit Rawatan Rapi, Hospital Umum Sarawak (HUS).
Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintenden Mohd. Sabri Zainol berkata, mangsa berasal dari Balai Ringin, Serian. “Semasa dalam perjalanan masuk ke kebun lada hitam di Kampung Jugan semalam, rakan mangsa, Jungga Tan juga berusia 36 tahun, terdengar bunyi tembakan dan terkejut melihat Siew Kiong yang memandu tiba-tiba rebah berlumuran darah.
“Jungga yang tidak mengalami sebarang kecederaan segera mengambil alih tugas memandu lori berkenaan dan membawa mangsa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Bau,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd. Sabri berkata, disebabkan keadaan yang kritikal, Siew Kiong kemudiannya terpaksa dipindahkan ke HUS.
Beliau berkata, polis yang menerima laporan tentang kes tersebut segera menjalankan siasatan dan menahan seorang suspek untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada mangsa ditembak atau tertembak.
Tambahnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh
MD. AZRIN ROSLY
utusan.com.my


No comments:
Post a Comment